Tuesday, 14 March 2017

Pengalaman berniaga

Teks : Fauziah Hamidon.
fauziah.hamidon@gmail.com
http://fauziahhamidon.blogspot.com

Dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang asing bagi diri saya. Sejak dari kecil lagi saya selalu melihat kaum keluarga saya melibatkan diri dalam  perniagaan.Pengalaman yang terbina dari kecil itu membuatkan diri saya jatuh cinta dengan dunia perniagaan. 

Semasa kecil sebelum mak dan abah berpindah ke Kulai, kami tinggal di Parit Raja Batu Pahat. Atok membuka sebuah kedai runcit di depan rumah. Saya selalu berasa seronok melihat atok menggunakan penimbang tahil di kedai runcitnya.

Bila usia menjangkau 6 tahun mak dan abah berpindah ke Kulai. Abah menjual pisang salai di padang dekat dengan warung bila Jabatan Penerangan Malaysia buat tayangan wayang di kampung. Saya selalu ikut abah menjual.

Bukan setakat menjual pisang salai, emak dan abah membela ayam kampung dan menjual ayam dan telur kepada orang kampung. Seingat saya kami sekeluarga berpeluang untuk makan ayam dua kali setahun iaitu semasa Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. 

Masa berlalu dengan pantas, bila  sudah mula bersekolah, saya tidak berpeluang untuk mendapat wang saku dari emak dan abah. Setiap hari bawa bekal air teh dan apa-apa yang mak masak untuk sarapan. Setiap kali lalu di kantin sekolah saya ternampak susunan air botol di kantin. Saya amat tertarik dengan air kacang soya. Teringin nak merasa kesedapannya.

Saya terfikir-fikir cara untuk mendapatkan wang untuk membeli air kacang soya. Saya pergi ke rumah jiran yang banyak buah jambu batu. Saya mintak sedikit buah jambu yang masak. Mereka dengan senang hati memberi beberapa biji kepada saya.Saya jual buah jambu dengan harga 5 sen sebiji. dapatlah saya kumpul beberapa sen. Dengan duit itu, saya beli pula buah jambu besar dari jiran yang lain. Saya jual dengan harga 10 sen.

Bila dah ada duit di tangan, saya rasa sayang pula nak beli air soya idaman saya tu. Saya lupakan keinginan saya dan mula menabung. 

Di rumah saya suka menanam pokok orkid, Bunga orkid itu saya jual kepada penduduk kampung yang nak buat kerja kawin. Mereka guna bunga orkid sebagai hiasan yang disematkan pada baju penanggah. Orang kampung memang mengenali saya kerana jualan orkid saya.

Selain dari itu saya membantu emak dan abah menjual limau bali yang abah tanam di sebelah bilik saya.Buahnya lebat dan besar-besar. 

Saya juga suka mengumpul resepi-resepi dari majalah lama dan menyalin resepi dari kawan-kawan walau pun saya tidak mahir masak. Semasa di universiti, saya menyalin resepi-resepi tersebut dan saya bukukan untuk koleksi sendiri. Saya masak berpandukan resepi_resepi tersebut. Kawan-kawan pakat hairan melihat kebolehan saya masak dan minta saya fotostatkan buku resepi saya. Saya mula menjual buku-buku resepi kepada kawan-kawan. Semenjak itu saya terus menceburkan diri dalam dunia perniagaan hingga kini.
  

No comments:

Post a Comment