Thursday 16 March 2017

Persiapan pola-pola jubah.

Teks : Fauziah Hamidon.
fauziah.hamidon@gmail.com
http://fauziahhamidon.blogspot.com

Iklan pola jubah telah dilancarkan semalam. Tempahan pola sudah semakin banyak. Siapa sangka perniagaan ini begitu memberangsangkan.


Pulang dari ziarah suami dan emak mertua, umi terus mencapai peralatan dan mula melakar pola. Umi melakar pola dari saiz S hingga saiz 3XL. Pola-pola itu akan menjadi pola master. Pembantu-pembantu yang umi panggil Engineer pola akan menggunakan pola itu sebagai acuan.


Sehingga kini kami telah ada 5 modul pola kami sendiri. Alhamdulillah trend belian pola begini mula mendapat tempat dihati pembeli yang rata-rata sangat sibuk untuk menghadirkan diri kekelas-kelas jahitan.


Selesai melabel, kemudian lipat, bungkus dan hantar. Nampak begitu mudah tetapi sebulan kami hanya mampu mengeluarkan 1 atau 2 produk sahaja kerana persiapan rapi perlu dilakukan untuk memastikan pelanggan berpuas hati dengan produk kami.

Untuk memudahkan penghantaran kami menggunakan perkhidmatan Easy Parcel. So kami tidak perlu beratur di Pos Laju seperti dulu.

Nanti bila-bila umi cerita pasal Easy Parcel pula ya.

ziarah dia dan emak

Teks : Fauziah Hamidon.
fauziah.hamidon@gmail.com
http://fauziahhamidon.blogspot.com

Hari Rabu petang umi mengajak geng jogging umi ziarah abinya di Gurun pada hari Khamis pagi.Umi tidak pasti sudah memberitahu abinya tentang kepergian umi kembara umrah. Sepanjang perjalanan kami banyak berbicara tentang atok Johor yang nak berkahwin lagi setelah 10 tahun kematian atok perempuan.Yang pastinya umi redha kalau abah umi nak kawin lagi. Beliau berhak untuk bahagia.

Sampai di kuburan Islam Gurun, umi seakan mahu berlari ke kuburannya. Allah, rindunya hati ini. Umi memberi salam kepada sang kekasih dan ahli-ahli diperkampungan itu.Duduk ditepi kuburannya, hadiah segala bacaan yang indah-indah untuknya. Damailah engkau di sana kekasih ku.Banyak sangat kenangan-kenangan indah sewaktu kita bersama.Seusai berdoa khas untuknya, umi mula memberitahu hal di rumah sebagaimana umi selalu buat bila pergi ziarah dia. umi juga memberitahu akan kembara ziarah umrah umi dan umi mintak dia berdoa kepada Allah moga semuanya berjalan lancar.


Rimbun sudah pohon yang ditanam pada hari pengkebumiannya. Wahai pohon, doakan suamiku. Sayangku, aku rindu padamu, rindukan kasih sayangmu.Tenanglah engkau di sana. Allah memilihmu untuk istirehat. Aku redha ya Allah.

Selepas bercerita panjang dengan dia suamiku, umi pergi ziarah emak mertua kesayangan umi dan suami. Kami bercerita panjang. Macam-macam mak bagi nasihat. Dia tahu umi baru lepas menangis, Biarlah dia tahu umi amat menyintai anaknya.Bersyukurnya suami kerana masih punya ibu yang sentiasa berdoa untuknya.Umi sempat memohon ampun di atas segala dosa umi dengan emak. Emak doakan saya ya...

Perjalanan masih jauh, pasti umi akan selalu melawat mereka berdua selagi hayat dikandung badan.

Umi rindu dia

Teks : Fauziah Hamidon.
fauziah.hamidon@gmail.com
http://fauziahhamidon.blogspot.com

Semakin dekat hari kepergian umi ketanah suci, umi sudah semakin sibuk. Aduhai , banyak nya urusan yang tidak selesai lagi. Persediaan secara fizikal masih dilakukan, berjogging petang-petang untuk kecergasan di Taman tasik.

Kalau ikut jadual semalam umi kena siapkan pakaian ke sana hari ini. Memang tidak berapa pasti berapa helai yang hendak dibawa. Tapi tidak mengapa. Umi anggar 6 helai jubah pasti cukup.

Satu satu jubah di perhatikan , dibetulkan dan dijahit sekali lagi tempat-tempat yang mungkin boleh koyak. Bawa baju-baju yang ada sahaja. Umi ingat nak berjimat sahaja dari segi pakaian ni.

Dalam nak berjimat tu pun baru 2 helai yang betul betul siap. InsyaAllah perlahan-lahan umi siapkan.

Sebelum tu umi dah beli peralatan mandi yang kecil-kecil seperti berus dan ubat gigi.

 Umi ke Tesco membeli barang-barang ini. Melihat berbagai jenama umi jadi  keliru. Selama ini arwah suami yang membeli segala keperluan di-rumah. Rasanya sepanjang menjadi wanita bergelar isteri, boleh dikira dengan jari umi ikut suami membeli peralatan macam ni.

Lama juga umi membelek-belek jenama yang ada. Ya Allah, masa untuk berubah. Banyak pelajaran yang Kau berikan sepanjang perjalanan kembara umrah ini. Umi bersyukur Ya Allah. Umi sedang belajar berdikari, menjaga kesihatan, berlari bersendirian dan Umi hanya ada Allah.

Sayunya hati.

Umi terfikir sebaiknya buat list barang apa yang umi perlu bawa. Teringat segala pelajaran yang suami ajar dulu. Senarai perlu ada. Tick semua benda yang dah ada. Senarai panjang sudah jadi semakin pendek. Syukur ya Allah dengan kurniaan Engkau. Tapi hati jadi sayu. Ya Allah aku rindu dia...

Tuesday 14 March 2017

Testimoni handsocks

Teks : Fauziah Hamidon.
fauziah.hamidon@gmail.com
http://fauziahhamidon.blogspot.com


Assalamualaikum.

Salah satu produk keluaran saya adalah handsocks yang saya jahit sendiri. Alhamdulillah handsocks ring ni datang dalam berbagai warna mengikut tempahan pelanggan. Dari sejak diperkenalkan sehingga kini tempahan tidak pernah putus.

Dalam setiap penghasilan handsocks saya niatkan agar sipemakai mendapat segala kebaikannya.Niat agar dapat memenuhi keperluan berhijab dan moga hidup sentiasa diberkati kerana memilih untuk mengikut syariat.

Alhamdulillah handsocks saya diterima dengan baik oleh pelanggan, hati rasa sangat terharu bila pelanggan menyatakan kepuasan hati terhadap produk saya. Inilah namanya bahagia. Hati rasa sayu, bersyukur dan berazam untuk melakukan yang terbaik dalam usaha untuk memenuhi permintaan wanita berhijab.

Bagi yang berminat untuk membuat tempahan hubungi saya di 0124282437.


Pengalaman berniaga

Teks : Fauziah Hamidon.
fauziah.hamidon@gmail.com
http://fauziahhamidon.blogspot.com

Dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang asing bagi diri saya. Sejak dari kecil lagi saya selalu melihat kaum keluarga saya melibatkan diri dalam  perniagaan.Pengalaman yang terbina dari kecil itu membuatkan diri saya jatuh cinta dengan dunia perniagaan. 

Semasa kecil sebelum mak dan abah berpindah ke Kulai, kami tinggal di Parit Raja Batu Pahat. Atok membuka sebuah kedai runcit di depan rumah. Saya selalu berasa seronok melihat atok menggunakan penimbang tahil di kedai runcitnya.

Bila usia menjangkau 6 tahun mak dan abah berpindah ke Kulai. Abah menjual pisang salai di padang dekat dengan warung bila Jabatan Penerangan Malaysia buat tayangan wayang di kampung. Saya selalu ikut abah menjual.

Bukan setakat menjual pisang salai, emak dan abah membela ayam kampung dan menjual ayam dan telur kepada orang kampung. Seingat saya kami sekeluarga berpeluang untuk makan ayam dua kali setahun iaitu semasa Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. 

Masa berlalu dengan pantas, bila  sudah mula bersekolah, saya tidak berpeluang untuk mendapat wang saku dari emak dan abah. Setiap hari bawa bekal air teh dan apa-apa yang mak masak untuk sarapan. Setiap kali lalu di kantin sekolah saya ternampak susunan air botol di kantin. Saya amat tertarik dengan air kacang soya. Teringin nak merasa kesedapannya.

Saya terfikir-fikir cara untuk mendapatkan wang untuk membeli air kacang soya. Saya pergi ke rumah jiran yang banyak buah jambu batu. Saya mintak sedikit buah jambu yang masak. Mereka dengan senang hati memberi beberapa biji kepada saya.Saya jual buah jambu dengan harga 5 sen sebiji. dapatlah saya kumpul beberapa sen. Dengan duit itu, saya beli pula buah jambu besar dari jiran yang lain. Saya jual dengan harga 10 sen.

Bila dah ada duit di tangan, saya rasa sayang pula nak beli air soya idaman saya tu. Saya lupakan keinginan saya dan mula menabung. 

Di rumah saya suka menanam pokok orkid, Bunga orkid itu saya jual kepada penduduk kampung yang nak buat kerja kawin. Mereka guna bunga orkid sebagai hiasan yang disematkan pada baju penanggah. Orang kampung memang mengenali saya kerana jualan orkid saya.

Selain dari itu saya membantu emak dan abah menjual limau bali yang abah tanam di sebelah bilik saya.Buahnya lebat dan besar-besar. 

Saya juga suka mengumpul resepi-resepi dari majalah lama dan menyalin resepi dari kawan-kawan walau pun saya tidak mahir masak. Semasa di universiti, saya menyalin resepi-resepi tersebut dan saya bukukan untuk koleksi sendiri. Saya masak berpandukan resepi_resepi tersebut. Kawan-kawan pakat hairan melihat kebolehan saya masak dan minta saya fotostatkan buku resepi saya. Saya mula menjual buku-buku resepi kepada kawan-kawan. Semenjak itu saya terus menceburkan diri dalam dunia perniagaan hingga kini.
  

Persiapan Fizikal

Teks : Fauziah Hamidon.
fauziah.hamidon@gmail.com
http://fauziahhamidon.blogspot.com


Dalam proses menyediakan diri untuk pergi ziarah umrah, persediaan dari segi fizikal adalah salah satu aspek yang amat perlu dititik beratkan. Sihat tubuh badan dari segi fizikal dan mental. 

Untuk persediaan fizikal yang sihat, umi memilih untuk berjogging di waktu petang di Taman Tasik Darul Aman. Petang-petang anak kedua umi akan membawa umi kesini selepas waktu kerja.Bagi umi waktu petang adalah masa yang paling sesuai sebab umi membayangkan keadaan disana yang agak panas  dan kering. 

Jarak satu pusingan mengelilingi tasik adalah lebih kurang 2 kilometer. Mula-mula berjogging memang agak mencabar juga lah tapi selepas beberapa minggu membuat latihan, badan rasa lebih ringan dan umi mula menikmati aktiviti ini.

Apa kelebihan berjogging ya
1. jogging dapat mengurangkan tekanan  bekerja. Orang kata salah satu cara untuk release tension lah.

2. Membakar kalori yang berlebihan. Bila dah selalu berjogging kita rasa ringan sikit.

3. Membantu kita tidur awal sebab badan letih dan rasa cepat mengantuk.

4.dari segi mental, jogging meningkatkan mood untuk membina keyakinan diri yang lebih positif.


5. Jogging membantu otak untuk menghantar pesanan kepada tubuh merembeskan hormon endorfin iaitu hormon kebahagiaan.

Bagi orang yang murung, eloklah berjogging ya.

 
Ditambah lagi dengan kecantikan Taman Tasik ni membuatkan umi rasa berbaloi jogging sebagai persediaan tawaf dan saei nanti.

Ya Allah sampaikan hajatku untuk ke rumah Mu.